Infolinks In Text Ads

Wednesday, April 9, 2008

pendidikan prasekolah

| |
Guru prasekolah perlu menguasai pelbagai aspek berkaitan pendidikan awal kanak-kanak terutamanya tentang pendidikan prasekolah. Antara aspek penting yang perlu difahami dengan sepenuhnya oleh guru prasekolah ialah teori-teori perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak, pengurusan kelas, perancangan dan strategi pengajaran-pembelajaran serta perancangan penubuhan kelas prasekolah.

Guru prasekolah yang mengikuti kursus pendidikan awal kanak-kanak samada di maktab perguruan ataupun di universiti akan didedahkan dengan pelbagai teori perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Terdapat banyak teori dari tokoh psikologi mengenai zaman kanak-kanak ini seperti Teori Kognitif Piaget, Teori Psikososial Erik Erikson, Teori Sigmund Freud. Namun begitu ada pendapat dalam kalangan guru-guru prasekolah yang menyatakan teori-teori yang mereka pelajari tidak sesuai dipraktikkan atau diaplikasikan di kelas prasekolah di negara kita. Adakah pendapat ini betul?

Teori-teori yang dipelajari sebenarnya adalah bagi membantu guru-guru merancang aktiviti pengajaran-pembelajaran yang sesuai dengan tahap usia dan perkembangan kanak-kanak. Terpulang kepada guru-guru untuk mempraktikkan mana-mana teori yang dirasakan sesuai dan gunakan kreativiti sendiri dalam merancang sesi pengajaran dan pembelajaran yang dapat menarik minat pelajar prasekolah anda. Mana tahu suatu hari nanti anda akan mengemukan teori anda sendiri :-)

Pengetahuan dan kemahiran guru prasekolah juga amat penting dalam merancang dan melaksanakan kurikulum prasekolah. Pengetahuan berkenaan teori-teori pengajaran-pembelajaran, aspek-aspek perkembangan kanak-kanak dan bagaimana kanak-kanak belajar penting untuk guru membentuk kemahiran pedagogi. Strategi pengajaran-pembelajaran guru perlu menggembirakankan kanak-kanak dan dapat memberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Pengurusan kelas adalah antara aspek yang tidak boleh dipandang ringan oleh guru prasekolah. Perkara-perkara seperti pengurusan perabut, susun atur di dalam kelas, aspek keceriaan, sudut pembelajaran dan sebagainya perlu dititik beratkan. Sebelum sesebuah kelas prasekolah di tubuhkan, guru prasekolah perlu menyediakan pelan perancangan yang merangkumi pelas kelas, pelas susun atur dan perlu memenuhi syarat-syarat bagi menubuhkan kelas prasekolah.

Pendidikan prasekolah perlu mendedahkan suasana pembelajaran awal kepada kanak-kanak sebelum mereka memasuki sekolah rendah. Walaupun pendidikan prasekolah tidak dapat menentukan kebolehan dan kejayaan seseorang kanak-kanak secara mutlak, namun suasana pembelajaran pada peringkat ini dapat menimbulkan minat dan keinginan yang tinggi kepada mereka untuk ke sekolah pada masa depan. Minat adalah kunci kepada kejayaan seseorang. Oleh itu, perancangan dan pelaksanaan pendidikan prasekolah perlulah dibuat dengan kemas dan teliti.

0 comments: