Infolinks In Text Ads

Wednesday, February 25, 2009

Buku bacaan bertema prasekolah

| |
Bangi, 11 ogos - Pusat Sumber Al-Ghazali, Institut Perguruan Islam Selangor (IPSIS) telah melancarkan buku siri Bacaan Bertema Prasekolah yang ditulis oleh beberapa orang pensyarah Institut Pendidikan Guru. Buku tersebut yang berada di pasaran pada 25 Julai 2008 bersempena Pesta Buku Selangor telah dilancarkan oleh pengarah IPSIS Tn. Hj. Amin bin Mohd Rashid.



Siri buku Bacaan Bertema Prasekolah ini sesuai dengan pembelajaran bertema yang dicandangkan oleh kurikulum prasekolah. Pembelajaran di prasekolah adalah berdasarkan tema-tema yang berkisar tentang kehidupan alam kanak-kanak. Kandungan Bacaan Bertema Prasekolah disusun menggunakan ayat-ayat mudah dan pendek bagi memastikan pemahaman dan kebolehbacaan kanak-kanak mengikut tahap umur mereka. Pengulangan perkataan digunakan agar kanak-kanak dapat mempelajari dan memahami struktur ayat secara tidak langsung. Ilustrasi berwarna yang difokuskan kepada maksud ayat dapat meningkatkan pemahaman kanak-kanak terhadap pembacaan. Selain itu, ilustrasi buku juga dapat merangsang kreativiti dan kemahiran berfikir kanak-kanak prasekolah. Kesemua ayat yang telah dibaca dicetak dalam satu muka surat bagi membolehkan kanak-kanak membaca semula kesemua ayat sebagai ulangkaji.



Aktiviti yang disediakan di akhir setiap cerita menguji pemahaman kanak-kanak tentang apa yang mereka baca. Beberapa cadangan aktiviti pengayaan disediakan di akhir buku untuk guru atau ibu bapa laksanakan bersama kanak-kanak. Aktiviti yang bersifat 'hands on' memberikan kanak-kanak peluang menjalankan aktiviti yang menyeronokkan bersama rakan ( sebagai aktiviti kumpulan di kelas prasekolah) atau ahli keluarga.

Ciri-ciri siri buku ini seperti yang dinyatakan menjadikan Bacaan Bertema Prasekolah bukan hanya sesuai untuk peringkat prasekolah tetapi juga bagi pembelajaran murid-murid yang berada di kelas Intervensi Awal Membaca & Menulis (KIA2M) di tahun 1.

Kesesuaian Bacaan Bertema Prasekolah dengan keperluan pembelajaran prasekolah telah mendapat sokongan dari Professor Puan Sri Dr. Rohaty Mohd Majzub seorang professor prasekolah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tidak asing lagi dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak sama ada di peringkat nasional mahupun di persada antarabangsa. Menurut beliau Bacaan Bertema Prasekolah sesuai dijadikan bahan bacaan utama atau sampingan untuk prasekolah dan juga sebagai bahan bacaan tambahan di rumah. Susunan ayatnya yang menepati tahap kanak-kanak dan ilustrasinya yang amat menarik menjadikan Bacaan Bertema Prasekolah pilihan tepat untuk merangsang minat membaca kanak-kanak.

Siri buku ini telah ditulis oleh Surayah Zaidon dan Rusleda Awang dari Institut Perguruan Islam dan Karimah Harun dari Institut Perguruan Kota Bharu. Siri buku ini merupakan hasil pemerhatian dan pengamatan mereka tentang keperluan kanak-kanak prasekolah selama tiga tahun. Penglibatan mereka secara langsung sebagai pendidik bakal-bakal guru prasekolah yang diintegrasikan peranan mereka sebagai ibu yang mempunyai anak-anak pada tahap prasekolah adalah antara faktor-faktor yang mendorong penulis untuk menghasilkan siri buku Bacaan Bertema Prasekolah ini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Surayah bte Zaidon
012-2035308
Fax: 03-87395694
Email: suzaidon@yahoo.com

sumber: Buletin pendidikan Bil9/2008

0 comments: